|
Friday, June 08, 2007
Terima kasih Blogdrive.com
Sekitar 2004, saya memulakan laman kakibuku.blogdrive.com. Tujuannya ialah untuk berkongsi pengalaman dan keseronokan membaca dengan para pengunjung blog ini. Alhamdulillah, saya berkesempatan berkongsi idea dan berkenalan dengan beberapa pencinta buku. Namun apa yang saya harapkan tidak banyak kesampaian. Mungkin tidak ramai pembaca di luar sana yang ingin berkongsi pandangan dan sebagainya. Atau mungkin juga tidak ramai yang suka membaca di luar sana. Kini blog kakibuku sudah sampai ke peringkat maksimum, sudah tidak ada ruang untuk menyambungnya. Cukup sekadar ini. Kalau sekiranya berminat mengikuti perkembangan kakibuku silalah ke laman http://bukuonline.blogdrive.com atau ke http://pencintabuku.blogspot.com. Kedua-dua blog ini ada kaitan dengan kakibuku. Jumpa lagi di sana...
Posted at 11:23 am by alidina
Permalink
Friday, May 25, 2007
Pelihara Syahadah Hindari Kufur
Buku ini meskipun membincangkan perkara-perkara yang amat ringkas dan asas, namun masih ramai umat Islam yang masih tidak tahu dan mengambil ringan terhadap perkara-perkara agama khususnya dalam masalah yang berkaitan dengan Akidah yang sahih dan perkara-perkara membatalkannya. Justeru, perkara paling asas dalam agama yang jarang ditanya ialah bagaimanakah Iman seseorang itu dapat bertahan dan adakah seseorang mukmin boleh bertukar menjadi kafir atau murtad? Buku Memelihara Syahadah Menghindari Diri Dari Kekufuran (ISBN: 978-967-86-0284-9, 2007, Karya Bestari Sdn. Bhd.) oleh Imran Al-Malizi ini cuba mencari jawapan kepada persoalan di atas. Menurutnya, "Gejala murtad bukan lagi suatu penyakit yang tersembunyi. Agama telah dijadikan 'mainan' oleh beberapa golongan yang mengaku memperjuangkan hak-hak mereka dalam agama. Ada di antara mereka mencabar perundangan Islam dan mempertikaikan hukum-hakam syarak dengan mengatakan ia tidak adil terhadap wanita, menghina institusi ulama, menyeru kepada pluralisme, mengiktiraf atau menyamakan Islam dengan agama-agama lain dan sebagainya. Fenomena ini berlaku kerana kelemahan Iman dan kejahilan mereka tentang perkara-perkara yang membatalkan iman dan syahadah." Tambahnya lagi, hari ini kebanyakan insan tidak lagi berhati-hati terhadap apa yang diucapkan oleh lidah mereka dan dilakukan oleh anggota tubuh mereka. Mereka juga tidak memperhalusi apa yang diiktikadkan dalam hati mereka. Adakah ia benar atau salah? Adakah ia sesuatu yang haq atau batil? Kebanyakan insan TERSESAT dalam masalah akidah kerana kejahilan mereka sendiri ( semoga Allah mengampunkan hamba-hambaNya yang jahil dan memberi mereka peluang untuk bertaubat dan menuntut ilmu pengetahuan yang sahih). Buku ini menghuraikan masalah Iman dan Syahadah dalam enam (6) bab, yang antara lain membincangkan hal "Beriman Pada Waktu Pagi dan Kufur Pada Waktu Petang, Pengertian Iman dan Kepentingan Dua Kalimah Syahadah, Rukun Iman, Perkara-perkara yang membatalkan Iman dan Perkara-perkara yang membatalkan Syahadah. Dapatkan buku ini dari perpustakaan, kedai-kedai buku atau pinjam dari teman-teman supaya dapat dimanfaatkan isi kandungannya. Buku ini sangat digalakkan untuk dibaca oleh golongan muda serta seisi keluarga.
Posted at 07:32 pm by alidina
Permalink
Monday, May 07, 2007
Jumpa Lagi Pada Pesta Buku ke-27, 2008
TAMAT sudah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) ke-26. Sasaran penganjur untuk mencapai pengunjung lebih 1 juta telah terlaksana pada tengah hari, hari terakhir pesta buku. Bagi En. Adri Nirwan bin Ahamad dan keluarga, kunjungannya ke Pesta Buku kali ini membawa kenangan manis kerana terpilih sebagai pengunjung ke-1 juta. Beliau adalah pensyarah di SM Sains Pokok Sena, Kedah. Tahniah.  PBAKL 2007 merupakan satu rekod cemerlang Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) kerana berjaya mengumpulkan 182 pempamer yang memenuhi 631 gerai (booths)di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Terdapat 137 syarikat buku tempatan (560 gerai), 27 syarikat luar negara (53 gerai) dan 18 agensi kerajaan (18 gerai) yang mengambil bahagian selama 10 hari yang bermula pada 27 April - 6 Mei 2007. Bagi para Pencinta Buku dan incidental reader (meminjam kata-kata Law King Hui, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL), pesta ini menjadi sesuatu acara yang dinanti-nantikan. Bagi mereka yang belum mempunyai minat membaca akan tertarik mengunjungi PBAKL kerana adanya 'suasana pesta', di mana tidak secara langsung dan tanpa dipaksa, mereka pasti terlihat susunan ribuan buku di rak-rak dan atas meja-meja dan diharapkan akan terpanggil untuk membelek-belek pelbagai jenis buku, majalah serta pelbagai bahan terbitan lain. Semoga apa yang mereka alami di pesta buku ini akan menumbuhkan minat serta meningkatkan tabiat ingin membaca. Sekalung tahniah kepada penganjur PBAKL 2007 dengan tema Buku Memperkaya Minda, semoga PBAKL ke-27 yang dijangkakan pada 4 - 13 April 2008 akan datang lebih berjaya dan membawa lebih banyak pembaharuan dan kejutan.
Posted at 11:43 pm by alidina
Permalink
Saturday, April 28, 2007
Perancangan & Persediaan Menghadapi Persaraan
Alam persaraan penuh dengan cabaran, kesulitan dan keseronokan! Pesara akan berhadapan dengan perubahan dan kejutan emosi dan mental disebabkan oleh kemerosotan pendapatan, kehilangan status, keistimewaan dan kemudahan yang dimiliki sebelumnya. Masyarakat pula mempunyai pandangan yang berbeza mengenai golongan pesara dan ini tentunya menyentuh emosi, mental dan kehidupan sosial mereka. Tidak kurang juga, ada yang dalam keadaan kemurungan di peringkat awal persaraan mereka.
 Buku Perancangan, Persediaan dan Kehidupan Di Alam Persaraan karya Haji Omardin Ashaari (ISBN: 978-983-43157-0-8, 2006) mungkin dapat menjawab sebahagian persoalan di atas. Buku ini merupakan cetusan fikiran ke arah penyesuaian diri dan menjana kedamaian hidup di alam persaraan. Buku ini membicarakan mengenai perancangan, persediaan dan kehidupan di dunia persaraan secara padat, tepat dan menyeluruh. Tentunya bakal pesara akan lebih bersedia untuk menghadapi persaraan dari segi mental dan fizikal. Secara keseluruhannya, buku ini terdiri dari 15 bab yang membicarakan tentang persediaan menghadapi persaraan yang bermula dengan pemprosesan dokumen, wasiat, hibah, kejutan budaya hidup, masalah penjagaan dan pengekalan kesihatan, perancangan kewangan, pembangunan dan pengayaan diri, peluang pekerjaan dan profesional, pengurusan masa yang berkesan, perkhidmatan sosial dan kebajikan serta teknik menangani stres dalam hidup. Sehubungan dengan ini, buku ini cuba memberi penyelesaian berbagai-bagai masalah yang dihadapi oleh mereka yang berada dalam alam persaraan. Buku ini juga sangat sesuai untuk ditelaah oleh mereka yang telah bersara. Setiap kita yang berkhidmat, sama ada di sektor awam atau swasta, akan sampai ketikanya akan berdepan dengan detik persaraan. Tidak banyak bahan bacaan sebegini dalam bahasa Melayu dapat dijadikan rujukan. Buku setebal 324 halaman ini perlu anda miliki atau jadikan buah tangan kepada sahabat handai yang bakal bersara...
Posted at 07:44 pm by alidina
Permalink
Thursday, April 26, 2007
Majlis Pelancaran Buku Baru
Seperti yang dirancangkan, Majlis Pelancaran Buku Baru oleh Yang Berbahagia Datuk A Samad Said, Sasterawan Negara telah selamat disempurnakan. Bertempat di Dewan Utama, Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam bersempena dengan berlangsungnya Seminar Pencinta Buku Malaysia ke-2 pada 22 April 2007.  Sejumlah empat judul baru telah dilancarkan. Dua judul hasil karya Elias Haji Idris iaitu Anak Perempuan Kabaret dan Kembang Tak Jadi (novel).Satu judul karya Zubli Zainordin, Puncak Jaya: Malaysia Kampungku, Dunia Negaraku (motivasi). Sementara satu judul lagi ialah Pembangunan Iman dan Kekuatan Peribadi (falsafah) hasil tulisan Amin Nordin A. Rahman. Hampir seratus peserta mengikuti seminar ini yang diadakan sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang jatuh pada setiap 23 April. Selain pelancaran buku dan Ucap Utama oleh Pak Samad, seminar ini menampilkan tujuh kertas kerja yang dibentangkan oleh para Pencinta Buku yang terdiri daripada Prof. Dr. Bukhari Lubis, Nisah Haron, Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim, Ali Dina, Rahimi Saad, Mohdi Darim dan sdr. Jiwa Rasa. InsyaAllah Seminar sebegini akan diteruskan pada masa-masa akan datang. Semua kertas kerja ini akan dibukukan sedikit waktu lagi.Tunggu tarikh penerbitannya.
Posted at 04:07 pm by alidina
Permalink
|