|
Saturday, April 28, 2007
Perancangan & Persediaan Menghadapi Persaraan
Alam persaraan penuh dengan cabaran, kesulitan dan keseronokan! Pesara akan berhadapan dengan perubahan dan kejutan emosi dan mental disebabkan oleh kemerosotan pendapatan, kehilangan status, keistimewaan dan kemudahan yang dimiliki sebelumnya. Masyarakat pula mempunyai pandangan yang berbeza mengenai golongan pesara dan ini tentunya menyentuh emosi, mental dan kehidupan sosial mereka. Tidak kurang juga, ada yang dalam keadaan kemurungan di peringkat awal persaraan mereka.
 Buku Perancangan, Persediaan dan Kehidupan Di Alam Persaraan karya Haji Omardin Ashaari (ISBN: 978-983-43157-0-8, 2006) mungkin dapat menjawab sebahagian persoalan di atas. Buku ini merupakan cetusan fikiran ke arah penyesuaian diri dan menjana kedamaian hidup di alam persaraan. Buku ini membicarakan mengenai perancangan, persediaan dan kehidupan di dunia persaraan secara padat, tepat dan menyeluruh. Tentunya bakal pesara akan lebih bersedia untuk menghadapi persaraan dari segi mental dan fizikal. Secara keseluruhannya, buku ini terdiri dari 15 bab yang membicarakan tentang persediaan menghadapi persaraan yang bermula dengan pemprosesan dokumen, wasiat, hibah, kejutan budaya hidup, masalah penjagaan dan pengekalan kesihatan, perancangan kewangan, pembangunan dan pengayaan diri, peluang pekerjaan dan profesional, pengurusan masa yang berkesan, perkhidmatan sosial dan kebajikan serta teknik menangani stres dalam hidup. Sehubungan dengan ini, buku ini cuba memberi penyelesaian berbagai-bagai masalah yang dihadapi oleh mereka yang berada dalam alam persaraan. Buku ini juga sangat sesuai untuk ditelaah oleh mereka yang telah bersara. Setiap kita yang berkhidmat, sama ada di sektor awam atau swasta, akan sampai ketikanya akan berdepan dengan detik persaraan. Tidak banyak bahan bacaan sebegini dalam bahasa Melayu dapat dijadikan rujukan. Buku setebal 324 halaman ini perlu anda miliki atau jadikan buah tangan kepada sahabat handai yang bakal bersara...
|