Sunday, April 01, 2007
Prof. Hembing Sebutir Permata Asia

Buku ini sudah lama diterbitkan, namun saya baru sahaja berkesempatan memilikinya ketika berkunjung ke toko buku Fajar Ilmu Baru Enterprise di Wisma Yakin, Kuala Lumpur baru-baru ini. Naskhah in sahajalah yang masih ada. Memang sudah lama saya mengetahui kehebatan Prof. Hembing Wijayakusuma dalam hal-hal perubatan alternatif, namun begitu, terlalu sedikit maklumat yang saya dapat dari buku-buku yang ditulisnya. Terlalu sukar untuk mendapatkannya, atau tiada lagi stok. Khabarnya setiap buku barunya akan kehabisan stok dalam masa dua tiga bulan. Hebat sekali.

Buku Prof. Hembing Pemenang The Star of Asia Award Pertama di Asia Ketiga di Dunia (ISBN:979-9157-03-X, 380 hal, 2000) adalah sebuah biografi lengkap yang dihasilkan oleh Siti Nafsiah dan diterbitkan oleh Penerbit Prestasi. Buku ini diperkukuhkan lagi dengan kata pengantar oleh Prof. Dr. Nurcholish Madjid.

Membaca buku ini kita diperkenalkan dengan sosok peribadi Prof. Dr. H.M. Hembing Wijayakusuma yang mengabadikan dirinya dalam mengkaji hal-hal perubatan alternatif berdasarkan tumbuh-tumbuhan ubat yang banyak terdapat di Indonesia. Seperkara lagi beliau telah  memperkembangkan perubatan akupunktur berasaskan sengatan lebah yang dikenali sebagai Bee Venom Therapy. Kedua-dua usaha penemuan  inilah yang melayakkannya menerima anugerah tersebut dari The Open International University for Complementary Medicines, Perth, Australia.

Di dalam buku ini dikupas secara detail penglibatan Hembing dengan dunia perubatan alternatif yang dipelajarinya seawal usia 12 tahun daripada neneknya. Kemudian beliau belajar secara khusus di Hong Kong dan seterusnya menimba pengalaman di Korea Selatan, Jepun dan China.

Sepanjang hampir 40 tahun, Prof Hembing bergiat aktif dalam perubatan alternatif dan mempelopori penggunaan tumbuhan herba sebagai bahan berkhasiat penyembuh penyakit. Beliau juga telah membuka sebuah pusat perubatan alternatif di Jakarta yang memberi khidmat kepada pesakit-pesakit yang tidak mampu membayar harga tinggi untuk rawatan dan ubat di hospital-hospita swasta.

Di samping itu, beliau juga sangat aktif melakukan kerja-kerja dakwah dan kemanusiaan serta memperkenalkan gaya "Hidup Sihat Cara Hembing" yang diasiarkan menerusi siaran TV nasional Indonesia. Beliau juga telah menghasilkan puluhan judul buku yang meliputi bidang-bidang perubatan alternatif, agama, falsafah dan sejarah. Sesungguhnya Indonesia telah dianugerahkan seorang tokoh yang sangat istimewa dan begitu prihatin tentang kesejahteraan rakyat Indonesia dan universal. Beliau mengajak manusia untuk kembali bersatu dengan alam semula jadi dengan memeliharanya sebaik mungkin.

Posted at 07:44 pm by alidina
Make a comment  

Tuesday, March 27, 2007
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 (KLIBF) telah memasuki tahun ke-26. Kali ini KLIBF akan berlangsung mulai 27 April - 6 Mei 2007 mulai 10 pagi - 9.00 malam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Pesta ini merupakan tempat 'bertemu' dan 'bertamu' di kalangan para pemain industri buku tempatan dan antarabangsa. Ketika inilah banyak urusniaga berkaitan hakcipta,  kerjasama dan meningkatkan jaringan di kalangan mereka dilangsungkan.

Dijangka lebih 150 syarikat perbukuan negara dan antarabngsa akan menyertai pesta ini. Seperti biasa di antara aktiviti yang diadakan ialah pameran dan jualan segala jenis buku seperti buku-buku umum, kanak-kanak, ilmiah, kesenian, sains dan teknologi, dan sebagainya.

Selain dari itu aktiviti berkaitan dengan industri juga dilangsungkan sepanjang pesta ini, antaranya penganjuran seminar dan bengkel serta pelancaran buku-buku baru.

Kepada para pengunjung yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, pesta ini adalah tempat untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan yang bermutu di bawah satu bumbung.

Sekiranya tidak berkesempatan kali ini, maka kena tunggu pada tahun hadapan pula. Jadi jangan lepaskan peluang, kalau anda bernasib baik mungkin anda berpeluang bertemu dengan para pengarang yang anda minati. Untuk keterangan lanjut berkaitan pesta ini, anda boleh layari laman Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007

Posted at 02:40 pm by alidina
Comments (2)  

Monday, March 26, 2007
Remeh-Temeh Tentang Solat

Buku ini bukan panduan untuk mengerjakan solat, sekiranya memerlukan panduan melakukan solat carilah seorang guru yang boleh membimbing anda untuk bersolat secara ilmiah dan praktis (wajib). Namun, buku SOAL JAWAB remeh-temeh tentang SOLAT tapi anda malu bertanya... (ISBN:983-3494-43-9; 2006) karya Us. Mohammad Nidzam Abdul Kadir adalah mengenai selok-belok solat.

Apa yang menarik tentang buku ini ialah kebijaksanaan penulis memilih persoalan-persoalan berkaitan solat yang difikirkan perlu diketengahkan. Ia bermula dengan huraian tentang azan dan iqamat, perlakuan solat sehinggalah hal-hal berkaitan dengan zikir, jama' dan qasar dan sebagainya.

Us. Mohammad Nizam bukan sahaja mempunyai pengetahuan yang luas tentang ibadat dalam Islam tetapi juga mempersembahkannya dengan cara yang menarik dan bersahaja. Ianya disembahkan dalam bentuk soal jawab dengan menimbulkan persoalan-persoalan serta jawapan serta diperkukuhkan dengan huraian hadis serta petikan al-Quran (Firman Allah) dan sebagainya.

Sebagai contoh: Soalan 62 (hal.51) Menjadi amalan saya dan kebanyakan orang di Malaysia untuk membaca Fatihah ketika solat (berjemaah?). Tapi ada kawan saya kata Fatihah tak wajib dibaca. "Cofunse" saya. Macam mana masalah ini?

Jawapan:
Kalau kawan anda kata begitu, tak berapa tepat. Sebenarnya ada pendapat ulama yang menyatakan bahawa makmum tak perlu membaca Fatihah jika solat itu bacaannya nyaring kerana ada hadis-hadis yang menjelaskan begitu. Ini meliputi solat Subuh, Maghrib dan Isyak. Namun dalam mazhab Syafi'i, Fatihah wajib dibaca juga kerana ada hadis Nabi SAW, (terjemahan: "Tak memadai solat yang tidak dibaca padanya surah Fatihah")

Kalau nak pakai pendapat lain pun tak jadi hal. Pendapat yang menyatakan tak perlu baca Fatihah kerana ayat al-Quran menyuruh diam ketika ayat al-Quran dibaca. Firman Allah: (terjemahan: "Dan apabila dibacakan al-Quran maka dengarlah dan diam Surah al-A'raf 204.") Juga kerana ada riwayat hadis berbunyi: (terjemahan: "Sesiapa yang solat di belakang imam, maka bacaan imam baginya bacaan.") Mazhab Hanafi lagi senang dalam bab ini. Fatihah tak fardu. Imam pun tak difardukan membaca Fatihah dan makmum pun tak difardukan juga. Habis nak baca apa masa solat? Al-jawabnya bacalah apa-apa ayat al-Quran. Yang penting al-Quran kerana disebut dalam al-Quran: (terjemahan: "Bacalah apa-apa yang mudah daripada al-Quran."). Inilah sebahagian contoh soal-jawabnya.

Banyak lagi persoalan remeh-temeh yang akan anda temui dalam buku ini dan saya mencadangkan supaya buku ini menjadi bahan rujukan khusus untuk seisi keluarga. Sekiranya anda malu nak bertanya berkaitan solat, rujuklah buku ini, InsyaAllah anda mendapat jawapannya...

Posted at 03:43 pm by alidina
Make a comment  

Thursday, March 22, 2007
Seminar Pencinta Buku Malaysia Ke-

Seminar Pencinta Buku Malaysia bakal menemui anda sekali lagi di Shah Alam. Masih ingat Seminar Pencinta Buku Malaysia pada 20 April 2006 lalu? Kali ini diharap lebih meriah lagi.

Untuk makluman semua, Seminar ini akan dilangsungkan pada:

Tarikh: 22 April 2007 (Ahad)
Tempat: Dewan Utama, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Shah Alam
Masa: 9.30 - 5.30 petang.

Sempena Seminar ini, beberapa acara sampingan akan diadakan seperti Bazar Lambak Buku, Pelancaran Buku, Pelancaran Wakaf Buku serta Pelancaran Persatuan Pencinta Buku. Bazar Lambak Buku (Baru dan terpakai) akan diadakan di Foyer Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor mulai 21 - 22 April 2007 (Sabtu dan Ahad).

Sebanyak 12 kertas kerja akan dibentangkan di Seminar ini. Di antaranya ialah SN Datuk A Samad Said, Prof. Dr. Bukhari Lubis (UPSI), Dr. Abu Hassan Hasbullah (UM), sdr. Jiwa Rasa, Nisah Haron (Ujana Ilmu), wakil MPH, Popular Bookstore serta Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), PPAS dan Bukuonline.org.

Tema yang dipilih pada kali ini ialah Pesona Toko Buku. Seminar dianjurkan oleh komuniti Bukuonline.org dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) serta Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Penyertaan kali ini dikenakan bayaran sebanyak RM20.00 setiap peserta. Untuk keterangan lanjut sila hubungi: Norelmin Sapuan di talian 03-5519 7667 atau e-mel: el-mien@yahoo.com. Anda juga boleh melawati laman Bukuonline.org


Posted at 09:23 am by alidina
Comments (2)  

Wednesday, December 20, 2006
Melahirkan Jutawan Melalui Sektor Pertanian

Telah banyak diperkatakan berkaitan bidang pertanian sejak akhir-akhir ini. Tambahan pula Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) memberi tumpuan istimewa untuk memperkasakan pertanian dan berharap sektor ini mampu menjadi pemangkin untuk menjana pertumbuhan ekonomi baru yang berdaya saing.

Buku Melahirkan Jutawan Melalui Sektor Pertanian (ed-2,2007) karya Nasnan Jajuli dan diterbitkan oleh Anzagain Sdn. Bhd. dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara, Bukuonline.org dan Biro Pertanian Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ini sesungguhnya dapat dijadikan panduan berguna kepada para pembaca, terutama yang berminat dengan bidang pertanian.

Memetik dari kata-kata YAB Perdana Menteri di halaman (vi) buku ini  menyatakan bahawa "Pertanian sering sangat dihubungkait dengan kemiskinan dan kedaifan. Tanggapan ini tidak benar sama sekali kerana jika aktiviti pertanian diusahakan secara bersungguh-sungguh, ia boleh menjadi satu sumber kekayaan yang kukuh dan lumayan. Kita sememangnya telah memiliki beberapa tokoh pertanian yang berjaya dan boleh dibanggakan tetapi itu tidak mencukupi. Demi meningkatkan martabat dan mutu sektor ini, negara sesungguhnya memerlukan lebih ramai lagi para petani yang dinamik dan mampu mencipta perubahan"

Dari kenyataan YAB Perdana Menteri di atas, jelaslah bahawa sektor pertanian boleh memberi kemewahan dan kejayaan kepada usahawan yang kreatif dan mampu menanggung risiko. Pertanian moden mengikut Nasnan Jajuli tidak lagi bergantung kepada tanah yang luas, sebaliknya para petani turut sama menghasilkan produk taninya selain terlibat dengan sektor pemasaran produk tersebut. Tiga bidang utama sektor pertanian yang sangat berpotensi ialah penanaman, penghasilan produk dan pemasaran. Pilihlah bidang mana yang ingin diusahakan.

Buku ini menggariskan lapan sektor pertanian yang berdaya saing dan maju sekiranya dilaksanakan dengan penuh minat dan kesungguhan. Antaranya (1) Herba Malaysia berpotensi untuk dijadikan ubat-ubatan, (2) Perikanan air tawar, (3) Pembenihan pokok secara kultur tisu, (4) Penternakan ayam kampung, (5) Pembuatan baja organik, (6) Penanaman Kontan secara fertigasi, (7) Penanaman taugeh dan (8) Penanaman cendawan. Meneliti sektor pertanian di atas jelas bahawa kawasan/tanah yang luas tidak sangat diperlukan, memadai jika dilakukan di sekitar kawasan masing-masing.

Buku Melahirkan Jutawan Melalui Sektor Pertanian membekalkan sebahagian ilmu dan pengetahuan kepada para pembaca, yang selebihnya, para pembaca perlu mempraktikkan serta mendapat bimbingan daripada agensi-agensi pertanian lain. Ini harapan daripada sdr. Nasnan Jajuli. Buku ini ditulis dengan bahasa yang mudah serta penuh teliti dan sekiranya dilaksanakan seperti yang dicadangkan maka tidak ada sebab kenapa Anda tidak boleh berjaya dalam sektor pertanian yang anda jalankan!

Info buku:
Tajuk: Melahirkan Jutawan Melalui Sektor Pertanian
Penulis: Nasnan Jajuli
Penerbit: Anzagain Sdn. Bhd.
Bil Halaman: 137
ISBN: 983-037-213-8
Tahun: 2006 (Edisi ke-2, cetakan 2007)


Posted at 12:52 pm by alidina
Comments (5)  

Previous Page Next Page

Salam Perkenalan


Beberapa tajuk baru bertamu ke blog ini,
untuk dibaca dan didiskusikan,
Sekiranya ANDA ada buku terkini yang menarik
Untuk dikongsi bersama, sila hubungi kami,
Supaya dapat Bersama Kita Membaca.


Kepada ANDA yang mungkin ingin mendapatkan
buku-buku yang didiskusikan, SILA dapatkan
di kedai-kedai buku, perpustakaan atau
Hubungi:
alid_ina@yahoo.com

   

<< November 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
01 02 03 04 05 06 07
08 09 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed