Thursday, March 31, 2005
BOOKS for an Industrialized Nation

Buku kecil BOOKS for an Industrialized Nation (1995) adalah merupakan himpunan kertas kerja yang dibentangkan di Persidangan Majlis Buku Afro-Asia yang berlangsung pada Ogos 1994 di Kuala Lumpur. Buku ini diselenggarakan oleh Rohani Rustam dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Image hosted by Photobucket.com Sebanyak tujuh kertas kerja telah dibentangkan dan mencakupi pelbagai isu yang berkaitan dengan dunia perbukuan.

Antaranya:

  • 1. Current Trends and Future Prospects,
  • 2. Publishing in a High-Tech Environment,
  • 3. The Problems Facing a Small Country,
  • 4. The Sri Lankan Situation,,
  • 5. Meeting the Publishing Challenges of the 21st Century,
  • 6. The Bookseller, The Book Distributor and the Librarian: A Holistic View, dan
  • 7. Reading Needs of the Masses: Possible Trends.
  • Dalam ucapan alu-aluan oleh Dr. Leo Michael Toyad, selaku Timbalan Menteri Pendidikan, beliau menyatakan betapa negara Malaysia yang bakal menjadi negara maju pada 2020 masih belum berupaya untuk memenuhi kehendak sebilangan besar penduduknya tentang bahan-bahan bacaan bermutu.

    Katanya: “We want to ensure that the number of books published are always sufficient and of high quality since one of the criteria for a developed nation is that its people should be highly knowledgeable and informative. Unfortunately, the current book production on per capita basis for Asia and Africa is still very low”.

    Tambahnya lagi: “Asian countries with their low economic growth are not only facing political and economic crisis but are also threatened with lack of knowledge. What are we going to offer our future generation if we fail to even give them their basic needs such as knowledge?”

    Malaysia berhasrat mencapai status negara maju pada tahun 2020, kurang lebih ada 15 tahun lagi. Apakah industri buku negara sudah mampu menampung keperluan bahan bacaan bermutu kepada segenap lapisan masyarakat?




    Posted at 12:20 pm by alidina
    Make a comment  

    Monday, March 28, 2005
    ZA'BA Patriot dan Pendeta Melayu

    Buku ZA’BA Patriot dan Pendeta Melayu (1994) adalah hasil kajian Adnan Haji Nawang dan diterbitkan oleh Yayasan Penataran Ilmu. Ia bukan sekadar sebuah bibliografi tetapi padat dengan persoalan yang menyentuh hati nubari orang-orang Melayu.

    Zainal Abidin bin Ahmad atau Za’ba dilahir dan dibesarkan di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir Negeri Sembilan pada 16 September 1895. Meskipun berketurunan Bugis di sebelah bapa tetapi mengikut susur-galur sebelah ibunya (Intan Awaluddin) Za’ba adalah dari Suku Tanah Datar Gunung Pasir. Beliau meninggal dunia pada Selasa 23 Oktober 1973 iaitu dalam usia 78 tahun.

    Image hosted by Photobucket.com Buku ini merupakan salah satu dokumentasi penting tentang perjalanan hidup Pendeta Za’ba yang merangkumi keseluruhan citra perjuangannya yang banyak meninggalkan kesan. Pemikirannya jauh menerebus ke hadapan dan pengamatannya sangat kritis. Baik di bidang sosio-politik, pentadbiran, ekonomi, keagamaan, pendidikan mahupun kemasyarakatan. Namun yang amat terkesan ialah sumbangannya dalam bidang pendidikan.

    Image hosted by Photobucket.com Beliau yakin pendidikan dapat memajukan bangsa Melayu dan untuk itu beliau menerajuinya. Meskipun mula bersekolah pada usia 12 tahun tetapi keprihatinan dan didikan bapanya berjaya menanamkan keinginan untuk mencari dan memperkayakan ilmu.

    Kejayaan Za’ba dalam peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1915 mendapat pujian daripada Pengetua St. Paul Institution yang mencatatkan: “During 1915 this remarkable youth carried the first Malay student in Negeri Sembilan who stood for the Cambridge Senior Local Examination which he passed very creditably, being the first boy in Arithmatic, English Composition and Physical Geography.”

    Sesungguhnya buku ini amat penting untuk dibaca oleh semua orang Melayu. Carilah jatidiri anda di dalamnya dan jadikan panduan berguna untuk mengelakkan citra Melayu tersungkur dan terjerumus ke dalam satu lagi episod The Malay Lost World.




    Posted at 08:07 pm by alidina
    Comments (2)  

    Friday, March 25, 2005
    The Malay Lost World

    Baru selesai membaca buku The Malay Lost World with Emphasis on Entrepreneurship (2003) karya Shukor Omar dan diterbitkan oleh Anzagain Sdn. Bhd. Buku ini dibeli dari kedai buku Ebiza, di Kompleks PKNS Shah Alam.

    The Malay Lost World berat dengan persoalan tentang dunia Melayu yang sudah dan bakal hilang. Apakah benar dunia Melayu sudah hilang? Masih relevenkah kata-kata Hang Tuah “Takkan Melayu Hilang Di Dunia”? Buku ini dapat memberikan jawapannya.

    Image hosted by Photobucket.com Shukor Omar memberikan kesimpulannya dengan mengatakan “The Malays are saved by their numbers at least temporarily, by being the majority race. The fate of the minority Malays in Singapore has to be pondered by Malays elsewhere. Can the Malays for once understand the ‘big picture’ posing in front of them and the thin line between them and the oncoming disaster? Once the Malays lose their grip on political power, that will be the end of the Malay world. It will be of no return”.

    Ini satu kenyataan yang amat jujur berdasarkan pengalaman dan penglibatan beliau dalam dunia korporat dan pengurusan kanan di syarikat awam dan swasta. Pesannya, orang-orang Melayu jangan “menang sorak tetapi kampung tergadai” tertutama apabila membicarakan tentang dunia keusahawanan.

    Meskipun keusahawanan menjadi teras perbincangan dalam The Malay Lost World, tetapi pengarang turut membicarakan tentang sejarah, sikap dan nilai Melayu, masa depan Melayu, termasuk isu-isu penting pendidikan, sosio-budaya, perpaduan, pegangan keagamaan dan kepimpinan Melayu.

    Perbincangan panjang lebar difokuskan kepada Dasar Ekonomi Baru serta Dasar Pembangunan Negara dan Rancangan-rancangan Malaysia untuk membantu kaum Bumiputera dan menjarakkan jurang kemiskinan di antara penduduk bandar dan luar bandar.

    Namun setelah habis semuanya dicerna saya hanya dapat menghela nafas panjang dan membuat kesimpulan iaitu orang–orang Melayu sejak dari dulu hingga sekarang dan akan datang sentiasa: “Ketika terhimpit nak di atas, Ketika terkurung nak di luar, Berjalan berdua nak di tengah, Berjalan seorang nak dahulu".




    Posted at 05:25 pm by alidina
    Comments (2)  

    Wednesday, March 02, 2005
    Fikir dan Jana Kekayaan (Kejayaan)

    Amat bertuah kerana mendapat peluang menelaah buku Think and Grow Rich karya Napoleon Hill yang diterbitkan pada tahun 1938. Sewaktu mula diterbitkan saya masih belum lagi dilahirkan. Versi yang sempat dibaca ialah dalam bentuk e-buku (2000) yang diusahakan oleh OpportunityInformer.com.

    Pada kebanyakan orang, buku ini dianggap sebagai karya klassik dalam bidang motivasi moden dan pembangunan diri di mana telah lebih puluhan juta naskhah terjual dan begitu jugalah ramainya bilangan yang mendapat inspirasi untuk mencapai kejayaan diri.

    Napoleon Hill dilahirkan pada 1883 dalam satu keluarga yang miskin, pada umurnya 10 tahun ibunya meninggal dunia. Dua tahun kemudian bapanya kahwin semula. Ini menjadikannya seorang yang berjiwa memberontak. Pada umur 13 tahun beliau sudah mula menulis untuk akhbar. Kerjayanya sebagai wartawan dapat menampung perbelanjaan di universiti dan beliau lulus sebagai seorang peguam.

    Sebagai wartawan beliau diminta untuk menemuramah Andrew Carnegie, seorang jutawan keluli. Bermula dari pertemuan inilah, beliau diminta pula oleh Carnegie untuk menemuramah dan mendokumentasikan pengalaman 500 orang Amerika yang berjaya. Di antaranya, Thomas Edison, Alexander Graham Bell, Henry Ford, Theodore Roosevelt, John D. Rockerfeller dan ramai lagi.

    Buku Think and Grow Rich ini menyimpulkan tabiat dan wibawa orang yang berjaya dan beroleh kekayaan (kesenangan). Ada 13 anak tangga kejayaan yang digariskan oleh Napoleon Hill. Sekiranya seseorang ingin mencapai impian mereka untuk kejayaan, buku ini dapat memberi inspirasi dan panduan berguna. Tetapi sebelum membacanya Napoleon Hill berpesan: the book was not written to entertain, you cannot digest the contents properly in a week or a month!

    Dapatkan e-bukunya dari laman web http://bukuonline.org


    Posted at 04:38 pm by alidina
    Make a comment  

    Saturday, February 19, 2005
    Hari Buku Sedunia 3 Mac

    Wujudkan Gelombang Pembacaan

    Kegiatan membaca sering dikaitkan dengan kecintaan kepada ilmu. Dengan membaca kita sebenarnya membuka pemikiran kita terhadap perkara-perkara baru. Biarpun buku tersebut dalam pelbagai genre diterbitkan beberapa tahun lalu, namun ada sesuatu yang baru dan menarik untuk diterokai.

    Minat membaca paling perlu ditanamkan kepada anak-anak kecil supaya faedahnya dapat diharapkan berpanjangan. Anak-anak yang diasuh dengan bahan bacaan yang baik bakal menjadikan mereka suka membaca secara berterusan. Tabiat suka membaca akan menguntungkan individu itu sendiri dan pihak lain termasuklah penulis, penerbit, kedai buku, perpustakaan dan sebagainya.

    Tidak hairanlah, pihak UNESCO telah memanfaatkan aktiviti pembacaan buku dan menetapkan pada setiap 3 Mac sebagai Hari Buku Sedunia. Ada baiknya kita di Malaysia dapat menyambutnya secara yang termampu.

    Penumpuan khas Hari Buku Sedunia ialah untuk menggalakkan kanak-kanak mendapat pendedahan kepada bahan bacaan bermanfaat untuk perkembangan minda mereka. Di sinilah ibu bapa dan komuniti patut mengambil peluang untuk memberikan anak-anak kesempatan mengunjungi kedai-kedai buku serta perpustakaan dan seterusnya memilih bahan bacaan untuk mereka.

    Sementara di peringkat sekolah pula pihak guru dan ibu bapa boleh bekerjasama untuk memikirkan aktiviti yang sesuai untuk murid-murid. Mungkin boleh diadakan projek mengumpul bahan bacaan yang disumbangkan oleh pihak-pihak tertentu atau kegiatan mendermakan bahan bacaan baru dan lama kepada sekolah.

    Yang terpenting ialah proses pembacaan buku itu sendiri. Bagaimanakah para guru dan ibu bapa dapat memanfaatkan sebilangan besar buku yang terdapat di perpustakaan rumah, sekolah dan perpustakaan awam? Ini melibatkan kreativiti yang jika dirancang dengan betul dan sesuai akan menggalakkan anak-anak menyayangi buku dan seterusnya menjadikan pembacaan sebagai kegiatan yang berfaedah.

    Diharap Hari Buku Sedunia pada tahun ini mampu menerbitkan riak-riak kecil yang akhirnya bertukar menjadi 'gelombang pembacaan' di kalangan penduduk Malaysia dan mungkin juga dapat meruntuhkan tembok pemisah yang mengatakan penduduk negara ini membaca dua buah buku setahun.




    Posted at 03:03 pm by alidina
    Make a comment  

    Previous Page Next Page

    Salam Perkenalan


    Beberapa tajuk baru bertamu ke blog ini,
    untuk dibaca dan didiskusikan,
    Sekiranya ANDA ada buku terkini yang menarik
    Untuk dikongsi bersama, sila hubungi kami,
    Supaya dapat Bersama Kita Membaca.


    Kepada ANDA yang mungkin ingin mendapatkan
    buku-buku yang didiskusikan, SILA dapatkan
    di kedai-kedai buku, perpustakaan atau
    Hubungi:
    alid_ina@yahoo.com

       

    << March 2006 >>
    Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
     01 02 03 04
    05 06 07 08 09 10 11
    12 13 14 15 16 17 18
    19 20 21 22 23 24 25
    26 27 28 29 30 31


    If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



    rss feed