Friday, December 31, 2004
Tahun baru 2005 bakal muncul kurang dari 12 jam dari sekarang, kita tinggalkan 2004 dengan penuh peristiwa manis dan pahit. Buku yang diterbitkan semalam (30 Disember 2004) sudah setahun usianya! Itulah hakikatnya.
Jadi Ada Apa Dengan Buku sebenarnya? Inilah yang menjadi persoalan kepada Shaharom TM Sulaiman dan Suriati Shamsuddin di mana dengan yakinnya mereka memberi judul buku yang saya kira amat menarik untuk dibaca dan ditelaah ini sebagai judulnya.
Untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang buku ini, saya sarankan supaya dapatkannya di kedai-kedai buku atau terus sahaja kepada penerbitnya iaitu Utusan Publications and Distriburtors. Atau lawati blog jiwarasa di http://jiwarasa.blogspot.com/2004/11/kembara-buku-shaharom-tm-sulaiman.html
Seperkara lagi ialah bilakah penjualan buku-buku di Malaysia boleh menjadi semeriah yang berlaku di Indonesia (contohnya)? Berdasarkan gambar di bawah, boleh dibuat satu kesimpulan bahawa untuk menjual buku tak perlulah mendapatkan kedai yang serba mewah dan canggih seperti MPH, Popular Bookstore dan sebagainya, memadai jika disusun dan dilambakkan di tepi-tepi gerai supaya ia nampak lebih meriah. Bagaimana agaknya...

Posted at 04:23 pm by alidina
Permalink
Monday, December 13, 2004
Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10
Sekadar memperkenalkan buku yang juga sudah menjadi kalut masakini. Sebuah buku yang juga penting untuk dibaca bersama buku Ibrahim Chik, macam gandingan Annuar Zain dan Dayang Norfaezah gamaknya. Buku ini hasil terbitan Penerbit UKM dan merupakan satu memoir yang tulus ikhlas. Terpulanglah kepada para pembaca untuk menilainya. Berikut diturunkan petikan dari 'blurb' buku tersebut untuk tatapan semua.
"Shamsiah Fakeh adalah pemimpin pergerakan Kemerdekaan dari kalangan wanita Melayu yang berjuang dengan gigih hingga ke belantara Malaya. Beliau adalah Ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang berganding bahu dengan Angkatan Pemuda Insaf (API) bagi mengibarkan panji-panji perjuangan menuntut Kemerdekaan dari tangan penjajah British. Gandingannya dengan Ahmad Boestamam, Ketua API telah membakar semangat sebilangan pemuda-pemudi Tanah Melayu mengangkat senjata menentang penjajah.
Shamsiah menyertai Rejimen Ke-10 iaitu sayap Melayu Parti Komunis Malaya (PKM). Kehidupannya penuh ranjau berduri. Beberapa kali beliau sesat di hutan ketika melanjutkan perjuangan bersenjata ke arah menuntut Kemerdekaan. Perjuangannya tidak mengira tempat, sama ada di hutan mahupun di pentas antarabangsa. Beliau bersama suaminya Ibrahim, bertugas di China, Indonesia dan Vietnam dalam rangka meniup semangat nasionalisme kepada penduduk Asia Tenggara yang masih di bawah penjajahan.
Shamsiah mengorbankan jiwa dan raga untuk memerdekakan Malaya mengikut caranya yang tersendiri. Selepas terpisah dari PKM, beliau terus berada di China menyambung hidupnya dengan bekerja di kilang besi. Beliau sekeluarga akhirnya kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994, selepas termetrainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand yang ditandatangani di Haadyai, Thailand pada 1989.
Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10.
2004. Penerbit UKM: Bangi.
ISBN 967-942-659-9 (Paperback).
138 hlm. RM30.00.
Posted at 06:18 pm by alidina
Permalink
Friday, December 10, 2004
Ibrahim Chik: Di antara Pejuang dan Petualang?
Ketika ini timbul sedikit keributan apabila Penerbit UKM menerbitkan dua naskhah memoir iaitu Ibrahim Chik dan Shamsiah Fakeh yang pada suatu ketika menganggotai Parti Komunis Malaya (PKM). Penerbitan kedua-dua naskhah memoir ini dilihat (oleh sebahagian pemimpin politik) sebagai memberi pengiktirafan kepada perjuangan Komunis. Mereka mungkin berpendapat buku tersebut boleh diterbitkan tetapi usah dilakukan oleh Penerbit Universiti!. Walau apapun tanggapan mereka di bawah ini diturunkan petikan dari 'blurb' yang disediakan oleh Penerbit UKM.
Ibrahim Chik adalah salah seorang daripada sekian banyak pemuda Lubuk Kawah di Temerloh yang masuk ke hutan mengangkat senjata melawan penjajah dalam gerakan kebangsaan berhaluan kiri. Kebanyakan pemuda Melayu pada ketika itu begitu tebal dengan semangat patriotiknya. Ibrahim dan rakan-rakan seperjuangannya yang rata-rata kuat dengan latar belakang pendidikan agama dari sekolah pondok telah berkorban jiwa dan raga demi cinta mereka kepada tanah air. Dalam tubuh mereka mengalir darah pejuang Pahang yang terkenal gagah berani seperti Tok Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau.
Pada masa negara masih huru hara dan darurat, mereka tidak mempunyai banyak pilihan. Kebanyakan gerakan antipenjajah termasuk Kesatuan Melayu Malaya (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) telah ditekan pergerakannya, United Malays National Organisation (UMNO) yang baru ditubuhkan pula dipenuhi golongan elit dan bangsawan. Parti Komunis Malaya (PKM) yang pada mulanya dibenarkan juga telah diharamkan. Sebagai rakyat bawahan yang muda dan bersemangat, tak mungkin Ibrahim dapat memberikan sumbangan besar kepada gerakan kemerdekaan Tanah Melayu dalam UMNO yang berjuang dengan slogan ‘Hidup Melayu.’ Dalam API, Ibrahim sudah sebati dengan ‘Merdeka dengan darah!’ Pilihan yang ada hanyalah bergabung dengan rakan-rakan dalam Rejimen ke-10 yang menjadi sayap PKM seperti Abdullah C. D., Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan lain-lain yang sudah bersedia menerima kedatangan beliau.
Ibrahim yang begitu petah berpidato kemudiannya diangkat mengetuai bahagian perang saraf dan propaganda PKM. Dengan tanggungjawab itu, Ibrahim berusaha memenangi hati rakyat untuk turut sama dalam perjuangan bersenjata dan berdarah menuntut kemerdekaan. Beliau ingin melihat Malaya merdeka dan bebas dari cengkaman penjajah British. Dalam memoir ini, Ibrahim mengimbau kembali pahit getir pengorbanan beliau dan rakan-rakan seangkatannya selama empat dekad dalam PKM.
Memoir Ibrahim Chik: Dari API ke Rejimen ke-10. 2004. Penerbit UKM: Bangi. ISBN 967-942-666-1 (Paperback). 220hlm. RM35.00.
Posted at 09:11 pm by alidina
Permalink
Sunday, November 28, 2004
Bookstore Tourism... Bagaimana di Malaysia?
Saya menerima e-mel dari ezine yang saya langgani pada minggu lepas. Entah macam mana saya amat tertarik dengan gagasan berhubung dengan "Melancung ke Kedai Buku" yang diilhamkan oleh Larry Portzline dari Harrisburg, Pennsylvania, USA. Pengamatan dan gagasannya sangat praktikal untuk dicuba di mana-mana sahaja, waima di Malaysia!
Apa yang dicadangkan oleh Larry sangat menarik dan saya berharap "Melancung ke Kedai Buku" ini dapat dijadikan satu kenyataan di Malaysia sedikit hari lagi. Saya juga berharap dapat memulakannya sedikit waktu lagi, tengah berkira-kiralah ni... kalau sekiranya ada yang berminat untuk berbincang mengenai projek melancung ke kedai buku ini bolehlah berhubung dengan saya.
Untuk mendapat pemahaman yang lebih tentang aktiviti melancung ini saya mencadangkan kepada semua yang berminat bolehlah melawat ke laman web www.bookstoretourism.com dan bersama kita membacanya.
Anda juga boleh memuat turun e-buku tentang "bookstore tourism" yang dihasilkan oleh Larry Portzline dan kalau sekiranya anda dermawan bolehlah menyumbang sedikit dana untuk membiayai laman webnya.
Posted at 02:27 pm by alidina
Permalink
Thursday, October 07, 2004
Panduan memulakan Perniagaan
Minggu lepas sempat membelek buku Bagaimana Memulakan Perniagaan (2004) hasil karya Jamaluddin Che Sab, bekas pensyarah Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia (MEDEC) di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Cabaran dan tekanan yang dihadapi oleh masyarakat di Malaysia khususnya Bumiputera apabila menghadapi masalah sosioekonomi yang timbul daripada sejarah pergolakan politik perdagangan antarabangsa menunjukkan pentingnya bidang keusahawanan dalam melahirkan golongan usahawan yang tulen dan mampu berdaya saing.
Usaha ke arah mewujudkan suatu budaya keusahawanan sama ada secara formal atau tidak formal perlu dipertimbangkan. Penghasilan buku ini dalam bidang keusahawanan adalah suatu cara tidak langsung ke arah mewujudkan suatu budaya keusahawanan di Malaysia.
Usaha penulisan buku ini juga bertujuan memperkayakan lagi perbendaharaan ilmu keusahawanan yang jarang terdapat dalam Bahasa Melayu. Perbendaharaan ilmu keusahawanan yang luas akan dapat membantu para pelajar dan orang awam terutama yang sedang dan bakal berjinak dengan keusahawanan mengenali bidang ini dengan lebih mendalam.
Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan buku ini silalah berkunjung ke laman web www.pts.com.my
Tajuk buku: Bagaimana Memulakan Perniagaan
Pengarang: Jamaluddin Che Sab
ISBN: 983-192-327-8
Harga: Semenanjung: RM 17.00
Sabah/Sarawak: RM 20.00
Posted at 04:41 pm by alidina
Permalink