|
|
 |
 |
|
Wednesday, October 06, 2004
Gerakan Belia 4B -- Sejarah, Perjuangan dan Cabaran
Pada kesempatan kali ini, saya berpeluang terlibat sama menghasilkan buku Gerakan Belia 4B Sejarah, Perjuangan dan Cabaran (2002). Meneliti kepada tajuknya, para pembaca sudah tentu dapat menangkap tentang intipatinya iaitu tentang sejarah, perjuangan dan cabaran yang dihadapi oleh pertubuhan belia terbesar di Malaysia, iaitu Gerakan Belia 4B.
Penerbitan buku ini dihasilkan atas saranan daripada YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka merangkap Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia (1994 hingga sekarang). Beliau membuat saranan ini semata-mata untuk merakamkan di dalam sebuah buku sejarah Gerakan Belia 4B Malaysia dari semenjak ditubuhkan pada 13 Feb. 1966 sehingga tahun 2001. Di dalam tempoh tersebut Gerakan Belia 4B Malaysia telah mencapai sejarah kegemilangan dan juga telah mengharungi kemelut krisis kepimpinan dan sekarang telah bangkit semula menjadi salah satu pertubuhan belia yang terbesar dan terunggul bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau Asia-Pasifik.
Buku ini mengandungi enam (6) bab. Bab pertama (1) Sejarah Awal Gerakan Belia 4B Malaysia, bab dua(2) Gerakan Belia 4B Mendaki ke Kemuncak, bab tiga (3) Krisis Kepimpinan dalam Gerakan Belia 4B, bab empat (4) Penglibatan Mohd. Tajol Rosli dengan Belia 4B, bab lima (5) Gerakan Belia 4B Bangkit Semula ke Era Kecemerlangan dan bab enam (6) 4B Dulu, Kini dan Masa Depannya : Satu Epilog.
Sebagai sebuah buku berbentuk dokumentasi, penerbitan buku ini bolehlah dianggap sebagai satu percubaaan yang amat dialu-alukan semoga pada masa-masa akan datang akan terbit lagi berbagai-bagai bentuk penulisan lain yang menyentuh kegiatan belia di Malaysia.
Penyelenggara: Kajian dan penulisan buku ini telah dihasilkan oleh sekumpulan penulis dari Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) yang terdiri daripada Datuk Haji Jamil Mukmin dan Hanita Hassan dan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang terdiri daripada Dr. Baharuddin Haji Aziz, Ali Dina dan Jamaluddin Abd. Rashid.
Posted at 10:55 pm by alidina
Permalink
Sunday, October 03, 2004
Etika Kewartawanan Edisi 2
Ilmu etika dalam bidang komunikasi khususnya kewartawanan bukan sesuatu yang baru, namun usaha ke arah memantapkan lagi falsafah etika ini masih belum mencukupi. Buku Etika Kewartawanan (2000) suntingan Faridah Ibrahim, Ph.D dan Mus Chairil Samani ini perlu diberi penghargaan kerana ianya menjadi semakin penting dan mencabar pada alaf baru ini.
Buku ini mengandungi 12 tulisan tentang etika dan profesion kewartawanan. Buku ini mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama mengemukakan pelbagai tulisan tentang amalan etika kewartawanan di negara ini dan bahagian kedua mengandungi lampiran-lampiran mengenai pelbagai etika kewartawanan yang menjadi amalan di negara ini dan di luar negara.
Buku ini ditulis dengan beberapa matlamat tetapi yang utama ialah untuk menggalakkan perbincangan secara ilmiah persoalan etika. Seterusnya buku ini diharap dapat memudahkan proses wacana dan penambahan ilmu di kalangan pelajar kewartawanan dan pengajian media serta mereka yang terbabit dalam bidang kewartawanan.
Oleh yang demikian, penerbitan buku ini dalam bentuk edisi kedua dirasakan amat perlu sekali dan menepati keperluan terkini. Buku ini mengandungi maklumat mengenai falsafah etika, tahap pengamalan serta isu-isu kontemporari mengenai etika yang berlandaskan ilmu teoretikal dan profesional.
Buku ini turut membincangkan perkara-perkara penting seperti: Ilmu etika dari sudut falsafah moral Islam dan barat, Pengamalan etika di Malaysia dan negara-negara lain, Implikasi etika dalam profesion kewartawanan, bidang kewartawanan dan bidang yang berkaitan dan Cabaran etika dalam era globalisasi di alaf baru.
Kepada yang berminat mendapatkan buku ini bolehlah menghubungi Penerbit F.A.R, 67-B, Tingkat Satu, Jalan SS 15/4C, 47500 Petaling Jaya atau hubungi di talian 012-2393119.
Posted at 07:34 pm by alidina
Permalink
Wednesday, September 29, 2004
Gagasan Ustaz Niamat Yusoff – Ulamak Arkitek Kemanusiaan
Buku ini diusahakan oleh Ismail Hashim untuk memberi penghormatan dan sanjungan terhadap seorang ulama yang telah membawa sinar harapan sangat cemerlang kepada anak bangsa Melayu di negara Malaysia tercinta ini. Menceburi bidang pendidikan dengan memberikan pengajaran tanpa memikirkan apa-apa ganjaran duniawi.
Beliau telah melakukan satu usaha besar dalam merubah salah tanggapan masyarakat. Baginya, dengan ilmu Islam yang jujur dan ikhlas boleh membawa kebahagiaan yang berpanjangan kepada umat Islam dari dunia ini membawalah kepada Negara Akhirat.
Kerana itu, penghormatan yang paling tinggi kita serahkan terhadap Allah swt. dengan harapan Al-Marhum Ustaz Niamat akan mendapati ganjaran paling wajar dari-Nya. Sesungguhnya pengorbanan yang sangat besar telah disempurnakannya sepanjang perjalanan kehidupan dan perjuangannya dalam usaha menegakkan kebenaran Islami.
Tidak ramai yang boleh melakukan kerja-kerja berat sebegitu jika tidak mempunyai persiapan minda, fizikal dan ruhiah yang mantap. Fenomena kekuatan itulah yang perlu kita persiapkan bagi membolehkan kita tegap dan teguh untuk berjuang dalam gelanggang merentas malapetaka puaka umat ini yang seperti terus mempusakai kedegilan penjajah.
Meskipun mereka merasakan diri telah mencapai kemerdekaan tetapi apakah benar mereka telah merdeka sepenuhnya? Atau sekadar menukarkan nama penjajah sahaja? Inilah bekalan perjuangan yang perlu kita bangkitkan segera dan mengutipinya dari usaha kita mengenang semula jasa Al-Marhum Syeikh Niamat yang telah setahun meninggalkan kita.
Buku ini diterbitkan oleh Penerbit Ilhami dan kepada yang berminat untuk mendapatkan buku ini sila lawati laman web http://pen-ilhami.blogspot.com/
Posted at 04:41 pm by alidina
Permalink
Tuesday, September 28, 2004
Novel GETARAN mengisahkan liku-liku kehidupan yang dilalui oleh seorang remaja (Idrus) ketika berada di institusi pengajian tinggi. Awalnya, Idrus tidak mengalami sebarang kesukaran ketika menimba ilmu di IPT yang selama ini diidam-idamkan. Kehidupannya terasa amat terseksa apabila perniagaan ayahnya mengalami masalah dan ketika yang sama ibu kandungnya yang disangkakan sudah meninggal dunia merayu supaya diketemukan dan meluahkan rasa rindu kepada anaknya itu.
Dalam keperitan Idrus berusaha bersungguh-sungguh untuk membela diri walaupun kehidupannya berubah dari dikelilingi kemewahan kepada seorang yang miskin lagi hina. Kini, hidupnya bergantung kepada orang yang bersimpati dengan nasibnya. Usaha bersungguh-sungguh itu akhirnya menampakkan hasil yang membanggakan kerana akhirnya dia dapat hidup bahagia bersama keluarga yang dibina. Pengalaman yang dilalui dahulu dijadikan pedoman untuk berjaya dalam kehidupan.
BioPengarang : Sulaiman Salleh, dilahirkan di Muar, Johor. Setelah menamatkan pengajian di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, beliau telah bertugas sebagai wartawan di Kumpulan Karangkraf sehingga 2003. Kini bertugas sebagai wartawan (sambilan) di Harian Metro. Penglibatan beliau dalam penulisan bermula dengan menerbitkan buku-buku rujukan siri sains dan teknologi, antaranya Komputer, Kenderaan, Kesihatan, Angkasa Lepas, Alam sekitar, Haiwan dan Tenaga. Beliau juga berminat dengan penulisan kreatif dan menghasilkan novel sulungnya Getaran terbitan Creative Enterprise. Sebagai seorang wartawan beliau telah memperolehi pelbagai anugerah kewartawanan seperti Hadiah Karya Kencana (1999), Anugerah wartawan Pengguna (1999) Anugerah Wartawan Terbaik Pendermaan Organ (2001) dan Hadiah Karya Kencana (2001).
Posted at 05:04 pm by alidina
Permalink
Thursday, August 26, 2004
The Journalist as STORYTELLER
Buku ini bukan sekadar membicarakan golongan wartawan sebagai 'tukang cerita', 'tukang karut', 'perawi' dan sebagainya. Malah ia membedah hati nurani peranan, tanggungjawab, etika dan kesinambungan seorang wartawan yang sentiasa bergelut dengan masa dan ketika untuk mengumpul 'cerita'.
Kepada pengarangnya Ahmad Murad Merican, Ph.D, buku The Journalist as STORYTELLER (2001) adalah suatu seni penceritaan yang sentiasa segar dan menuntut penuh pertanggungjawaban! Buku ini cuba mencari satu pemahaman baru tentang dunia kewartawanan -- dari aspek kesenian, penceritaan, keprihatinan, sejarah, budaya dan latar masa. Kesemua ini perlukan satu pengertian baru bagaimana institusi kewartawanan dan media mampu bersaing dan berdepan dengan ledakan kemodenan dan teknologi baru.
"The press means different things to different people. To the journalist it may, among other things mean the story, accuracy, and deadlines. To the audience, it may, among other things mean news, information and subconciously pandering to one's tastes and biases. An to the publishers and producers it means circulation and ratings. To the interest groups it means advocacy and persuasion. To the state it means social responsibility, and the bulletin board, the ideological forum".
Proses penulisan buku ini mula bercambah dan diperkukuhkan melalui diskusi dan wacana pada sekitar 1980-an sewaktu pengarang melanjutkan pengajian di University of Minnesota, USA dan dimantapkan dengan penglibatan beliau di bilik-bilik kuliah, seminar, persidangan dan sebagainya ketika bertugas (sehingga kini) di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Dalam proses inilah beliau sesungguhnya akur dan memelihara norma tinggi tentang "the value of thinking" dan "the importance of one's own mind". SELAMAT MEMBACA.
BioPengarang: Ahmad Murad Merican, Ph.D, adalah Professor Madya di Program Kewartawanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM. Beliau aktif terlibat dalam wacana dan penulisan berkaitan sosiologi kewartawanan dan sejarah keintelektualan komunikasi. Bidang pensyarahan dan penyelidikannya banyak berkaitan dengan pengajian media, penulisan dan penyuntingan berita, teori dan sejarah media, komunikasi dan pembangunan, teknologi, pemodenan dan budaya Melayu.
Posted at 01:18 pm by alidina
Permalink
|
|

Salam Perkenalan
|
 |
|