|
|
 |
 |
|
Saturday, August 21, 2004
Pembelajaran Berbantukan KOMPUTER
Era Teknologi Komunikasi & Maklumat (ICT) sesungguhnya menggugah kreativiti manusia. Fenomena ini sudah lama melewati ruang kamar tidur kita, di rumah, bilik-bilik pejabat, organisasi dan terkini di bilik-blik darjah di sekolah pedalaman. Sejauh manakah kita memanfaatkan ICT?
Pada kesempatan ini, saya berpeluang bereksperimen dengan usaha dan ilmu yang dipanjangkan oleh Dr. Ismail Zain, seorang ahli motivator pendidikan yang tersohor di Malaysia. Buku Pembelajaran Berbantukan Komputer -- Integrasi Perisian Hot Potatoes (2004) amat sesuai dijadikan rujukan dan pegangan kepada para pendidik. Melalui buku ini kita diperkenalkan dengan satu kaedah penyediaan bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) berasaskan teknologi komputer.
Secara ringkas buku ini adalah satu panduan kepada para pendidik menggunakan bahan perisian Hot Potatoes Versi 5.5.0 untuk membina bahan pengajaran dan latihan. Buku ini mudah digunakan dan mempunyai ciri-ciri berikut:
Memberi kemahiran untuk membina enam (6) bentuk soalan untuk tujuan latihan: iaitu JQuiz, JCross, JMatch, JCloze, JMix dan JBC. Dalam Versi 6.0.3, JBC sudah digabungkan dengan JQuiz.
Memberi kemahiran mengintegrasi pelbagai perisian ke dalam Hot Potatoes
Huraian yang mudah dan berbentuk modul sesuai untuk pendidik membina bahan pengajaran dan latihan.
Berkemahiran menyisip grafik, audio dan video ke dalam bahan pengajaran yang dibina.
Disertai dengan contoh-contoh aplikasi perisian di dalam bilik darjah/kuliah.
Sesuai untuk digunakan oleh semua pendidik dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P)
Sistem pendidikan masakini memerlukan para pendidik membuat anjakan paradigma bukan sahaja dari segi sikap tetapi dari segi penyampaian bahan pembelajaran di bilik darjah. Perkembangan ini adalah bertujuan mewujudkan pembelajaran bermakna (meaningful learning) serta berkesan (effective learning). Melalui perisisan Hot Potatoes yang dibangunkan oleh University of Victoria Humanities and Media Centre ini kita yakin pembelajaran secara berasaskan web akan memberi sumbangan untuk meningkatkan P&P di institusi pendidikan di Malaysia -- bermula di Tadika, Sekolah, Kolej dan IPT! Selamat Membaca dan Merujuk.
Posted at 03:39 pm by alidina
Permalink
Sunday, August 15, 2004
Sudah lama tidak membaca karya kreatif. Mungkin kerana kesibukan atau membaca buku lain yang menjadi keutamaan. Namun setiap ketika kita perlu membaca.
Pada kesempatan ini saya mengambil peluang membaca sebuah judul kreatif yang dihasilkan oleh penggiat sastera yang sudah lama menulis dan mengarang. Karya-karya beliau sering terpapar di akhbar dan majalah dan juga novel-novel yang diterbitkan oleh banyak penerbit. Tetapi kali ini beliau mengorak langkah baru serta berusaha dan menerbitkan sendiri karya kreatif melalui syarikat penerbitannya MND Publications and Distributors yang ditubuhkan setahun yang lalu. Syabas buat saudara Muhd Nasruddin Dasuki. Novel pertama beliau di bawah label MND Publications and Distributors ialah Sebening Air Mata (2003).
Sebening Air Mata menyorot kisah suka duka watak utama Siti Nur Balqis binti Abdul Hakim yang pada usia meningkat dewasa telah dijadikan barang jaminan dan galang-ganti oleh ibunya Sofea, yang tidak pernah membesarkannya. Dia dipujuk/ (.....) oleh ibunya untuk menjadi isteri kepada Zey Iskandar dengan harapan hutang-hutang suaminya yang tersangkut dengan bapa Zey Iskandar dapat dilunasi. Zawiyah, nenek yang membesar dan memelihara Siti Nur Balqis tidak berupaya melawan takdir dan melepaskan cucunya dengan hati yang berat dan mendoakan kesejahteraan rumah tangga yang bakal dibinanya.
Doa seorang nenek tidak kesampaian, sehingga menghembus nafas terakhir, Siti Nur Balqis tidak kunjung sampai. Kepulangannya ke kampung halaman tempat ia dibesarkan hanya sekadar sempat menatap dan menangisi tubuh neneknya yang terkujur layu.
Suaminya Zey Iskandar tidak ada bersamanya, Siti Nur Balqis keluar dari rumah senja itu dengan lenangan air mata setelah terjatuh talak satu kerana mengengkari perintah suami keluar rumah untuk menziarahi kematian nenek. Dia pasrah dan menerima keadaan dengan hati yang penuh kecelaruan.
Kenapa Zey Iskandar, seorang suami yang terpelajar bertindak begitu kejam sekali? Apakah kerana kecantikan wajah yang dimiliki oleh Siti Nur Balqis menyebabkan Zey Iskandar menjadi manusia dan suami yang tidak punya perasaan? Hingga akhirnya Siti Nur Balqis hidup terpenjara beberapa ketika di dalam sangkar emas yang dibina oleh Zey Iskandar! Bagaimanakah usaha Siti Nur Balqis melayari bahtera rumahtangganya yang sentiasa bergelora? Dan banyak lagi persoalan yang sukar dijawab sepanjang membaca novel ini.
Disebabkan novel ini sarat dengan persoalan dan jawapan yang tidak mungkin terjawab maka pengarang, Muhd Nasruddin Dasuki berusaha untuk mencari jalan penyelesaiannya melalui novel sambungan yang bakal diterbitkan sedikit hari lagi iaitu Sebening Air Mata 2. Tunggu dan dapatkannya di kedai buku dan bersama kita membaca.
Posted at 04:13 pm by alidina
Permalink
Monday, August 02, 2004
Strategi Menghadapi Peperiksaan ala Sun Tzu
Buku Strategi Menghadapi Peperiksaan ala Sun Tze (2000) hasil karya Abu Hasan Adam merupakan satu penemuan baru beliau yang amat berkesan dalam melengkapkan diri pelajar bagi menghadapi peperiksaan. Ia merupakan langkah-langkah dan strategi yang perlu dilakukan oleh pelajar, ketika merancang untuk lulus peperiksaan dengan berkesan dan cemerlang. Amat berguna kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.
Beliau mengambil iktibar dari pembacaan buku karangan Sun Tze, seorang penulis dan ahli falsafah China The Art of War yang begitu berkesan untuk menghadapi sebarang cabaran terutama ketika berhadapan dengan sesuatu peperangan. Ada banyak kaedah dan cara untuk mencapai hasrat itu.
Strategi 'The Art of War' ini juga digunakan oleh para ahli korporat untuk menjayakan perniagaan mereka, dan ternyata ramai yang BERJAYA. Oleh yang demikian Abu Hasan Adam yakin dan percaya cara dan kaedah yang digunakan oleh Sun Tze dalam peperangan ini, boleh juga diaplikasikan oleh para pelajar untuk berjaya dalam peperiksaan. Justeru beliau terus menganalisis kaedah tersebut dan menyesuaikan dengan keadaan dan suasana menghadapi sebarang peperiksaan.
Untuk menghadapi peperiksaan, seseorang pelajar terlebih perlu berjanji dengan dirinya yang dia akan belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran yang didudukinya. Untuk mencapai cita-cita tersebut si pelajar terpaksalah...
BioPenulis: Abu Hasan Adam dilahirkan di Padang Rengas Perak. Mendapat pendidikan awal di Clifford School, Kuala Kangsar, meneruskan pengajian tinggi di Universiti Malaya (1970) dan Stanford University, USA (1985). Beliau berpengalaman sebagai pendidik di sekolah rendah dan menengah, Jemaah Nazir Sekolah (1977), Pakar Peperiksaan (1978), Pegawai Khas kepada Menteri Pendidikan - YB Dato' Abdullah bin Ahmad Badawi (1984) YB Sdr. Anwar Ibrahim (1987), YB Datuk Amar Dr. Sulaiman Daud (1989), Pengarah Latihan di Biro Tatanegara (1989) dan akhir sekali sebagai Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia, UK & Eire di London (1998).
Posted at 07:14 pm by alidina
Permalink
Tuesday, July 27, 2004
Pengurusan Sekolah Bestari -- Satu Pengenalan
Pengumuman oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini tentang status sekolah bestari di seluruh negara amat dialu-alukan. Kita berharap semua sekolah akhirnya mencapai status sekolah bestari. Iltizam dan komitmen yang disambut oleh YB Dato' Hishamuddin, Menteri Pelajaran juga sangat memberangsangkan. Persolannya sekarang ini ialah bagaimana kita hendak menjadikan semua sekolah di Malaysia sebagai Sekolah Bestari?
Oleh yang demikian untuk mendapat sedikit pengetahuan terutama kepada pihak pengurusan sekolah, saya mencadangkan supaya mereka membeli dan membaca buku Pengurusan Sekolah Bestari (2000) yang ditulis oleh Dr. Ab. Rahim Selamat. Beliau merupakan seorang pendidik yang cukup terampil dan telah banyak membuat kajian tentang keunikan sekolah bestari. Hasilnya beliau telah berjaya menerbitkan beberapa judul buku berkaitan Sekolah Bestari.
Beliau menyarankan supaya "sekolah bestari pada hakikatnya perlu dibina atau dibina semula kerana ia tidak semulajadi atau diberikan di tahap yang sudah sempurna."
Buku ini juga cuba menghuraikan tentang sekolah bestari sebagai identiti yang terdiri daripada beberapa komponen baru dan lama -- seperti pengajaran bestari, pembelajaran bestari serta pengurusan bestari sebagai agenda penting dalam pembangunan perkhidmatan pendidikan Malaysia.
Pengurusan Sekolah Bestari yang ditulis dalam buku ini merupakan pemikiran awal yang perlu dihuraikan dengan terperinci oleh semua pihak. Huraiannya tidak muktamad. Huraian tentang pengurusan pengajaran, pembelajaran dan operasi atau pentadbiran sekolah jelas tidak begitu berbeza dengan pengurusan sekolah yang belum terlibat dalam projek sekolah bestari. Namun kemahiran dan sikap baru dalam pengurusan sekolah bestari perlu dikuasai oleh semua pengurus kerana ia mempunyai beberapa perbezaan dari segi keutamaan dan tekanan atau fokus terutama yang berkaitan dengan teknologi komunikasi dan maklumat.
BioPenulis : Dr. Ab. Rahim Selamat, mempunyai pengalaman sebagai pendidik profesional lebih dari 30 tahun dalam pelbagai kapasiti. Pengalaman beliau dalam Bilik Darjah, Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri, Maktab Perguruan, Institut Aminuddin Baki, SEAMEO RECSAM, Pengetua Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) dan Universiti Industri Selangor (UNISEL) serta beberapa penyertaan beliau dalam persidangan Kebangsaan dan Antarabangsa memberikan peluang untuk membina asas dalam penulisan buku ini. Ini ditambah dengan lawatan beliau ke beberapa sekolah bestari di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand dan Singapura juga telah menambah pengetahuan beliau untuk menulis buku ini.
Posted at 01:21 pm by alidina
Permalink
Sunday, July 25, 2004
Water for Life/Air untuk Kehidupan
Tidak ramai orang yang dapat menghargai keperluan dan kepentingan air, mungkin kerana 70% dunia ini terdiri dari air. Air terdapat di mana-mana sahaja -- laut, sungai, tasik, parit dan sebagainya. Oleh yang demikian tidak hairan orang sering membazirkan air secara sedar atau tidak sedar. Tetapi di dalam buku ini Water For Life (2003) air adalah sesuatu yang amat bernilai dan perlu DIHARGAI.
Buku ini dihasilkan oleh Dr. Noordin Darus, seorang Doktor Perubatan yang terpesona dengan kuasa (aura) yang terdapat dalam kandungan air serta sering menyarankan pengambilan/minuman air yang sempurna seperti yang dianjurkannya melalui Program Kesejahteraan (Wellness Programs) dan buku-bukunya yang lain.
Pada tahun 2001, beliau disahkan mengidap penyakit kanser darah (Non-Hodgkins Lymphoma) dan terpaksa menjalani rawatan (terapi kanser) untuk beberapa ketika yang amat memedihkan. Bermula dari sinilah, beliau berterusan membuat kajian tentang kepentingan air untuk minuman sehingga beliau yakin bahawa meminum air yang tidak sesuai (bagi dirinya) boleh menyebabkan anggota badannya memberi tindak balas yang berlainan.
Akhirnya beliau berjaya menemukan satu formula baru cara memproses air dan terhasillah Rx-Water . Air ini mempunyai ciri-ciri penyembuh-aura dan berupaya merawat (terapi air) berbagai-bagai jenis penyakit. Water for Life adalah satu kembara air yang penuh mistik dan mempesonakan, setiap penemuan yang terhasil darinya memberi kita satu dimensi baru tentang makna air dan hikmah yang ada bersamanya. SELAMAT MEMBACA.
Posted at 12:50 pm by alidina
Permalink
|
|

Salam Perkenalan
|
 |
|