|
|
 |
 |
|
Saturday, July 17, 2004
The Art of Total Wellness
'If you think wellness is expensive, try illness', inilah kata cabaran yang dinukil oleh pengarang buku ini iaitu Dr. Noordin Darus lewat bukunya The Art of Total Wellness (ed.2003). Setelah selesai membaca buku ini, saya menghela nafas panjang kerana terlalu banyak kebenaran tentang betapa pentingnya menjaga kesejahteraan diri yang selama ini sering diabaikan. Untuk menghayati keseluruhan isi kandungannya, anda perlu membaca dan menilai sendiri.
Walaupun buku ini mula diterbitkan pada tahun 1998, tetapi sekarang sudah diulangcetak kali ketiga (2003).
BioPenulis Dr. Noordin Darus, adalah pengasas, penulis dan perunding utama Program Kesejahteraan “The Art of Total Wellness” dan “World Wellness Network”. Mendapat latihan perubatan dari Universiti Malaya dan Pakar Perubatan Sukan dari London. Pernah bertugas di bahagian Psikatri di Hospital Universiti, Pengarah Perubatan dan Sains Sukan di Majlis Sukan Negara, bekas Presiden Persatuan Perubatan Sukan Malaysia dan terlibat aktif dalam menganjurkan program “Well for Life” untuk ahli-ahli korporat. Di samping itu beliau juga merupakan salah seorang personaliti media di Malaysia dan sering muncul di kaca televisyen, radio serta media cetak. Pengalaman beliau yang rencam ini dilahirkan dalam bentuk penulisan buku yang amat berkesan dan mudah difahami. Beliau adalah salah seorang tokoh terunggul dari sebilangan kecil pakar di bidang ini.
Posted at 02:48 am by alidina
Permalink
Friday, July 16, 2004
Wellness Revolution/Revolusi Kesejahteraan (?)
Macam nak rak bunyinya tajuk buku yang ingin saya perkenalkan ini. Ditulis oleh Paul Zane Pilzer (PZP) salah seorang ahli ekonomi yang berpandangan jauh dan merenung masa depan dengan penuh kegemilangan. The Wellness Revolution -- how to make a Fortune in the Next Trillion Dollar Industry (2002) mungkin boleh membantu anda untuk membuat pilihan dan ramalan (fortune) dalam bidang keusahawanan khususnya berkaitan dengan kesejahteraan (wellness). Carilah di kedai-kedai buku di tempat anda dan sekiranya tak dapat juga bolehlah berkunjung ke amazon.com.
Secara ringkas buku ini memperkatakan tentang Apa perlunya kita berrevolusi? PZP mengatakan terdapat sekurang-kurangnya dua revolusi penting sepanjang Abad Keduapuluh: 1) Penciptaan Kenderaan yang dimulakan oleh Henry Ford, dan 2) Penciptaan Komputer Peribadi yang dimeriahkan oleh Bill Gates, Micheal Dell dan Jeff Bezos. Kedua-dua penemuan/penciptaan ini menghasilkan satu revolusi perdagangan yang mencecah trilion ringgit (USD).
Industri automobil memerlukan jalanraya, stesen minyak, pusat penyelenggaraan, peralatan tukar ganti dan tempat kediaman yang hampir dengan segala kemudahan. Kesemua ini menyumbang kesejahteraan dan menjana pendapatan yang tidak ternilai jumlahnya, tambahan pula pada waktu sekarang pelbagai jenis kenderaan berada di jalan-jalan raya.
Kemunculan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) sekali lagi menjana pendapatan yang mencecah trilion ringgit (USD). Dari sekecil-kecil peralatan dan perkakasan komputer, perisian (softwares), kemudahan jalur lebar, perdagangan secara talian (on-line) dan sebagainya, semuanya menyumbang kepada kesejahteraan manusia.
Dan yang penting sekali sekaranglah masanya untuk kita membuat satu revolusi (pembaharuan?) iaitu memikirkan peluang-peluang yang ada berkaitan dengan industri kesihatan dan kesejahteraan. Di manakah anda ingin meletakkan diri anda dalam industri ini -- mengurus soal-soal kesihatan (sakit dan mencari ubatan) atau kesejahteraan (usaha mengawal untuk tidak sakit dan seterusnya mencari ubatan?). Faktor kesihatan dan kesejahteraan mengikut pendapat PZP akan juga menjana pendapatan yang bakal mencecah trilion ringgit (USD). Pilihan di tangan anda, selagi kita berhayat kita perlu menguruskan kesihatan dan kesejahteraan kita. Inilah revolusi yang dimaksudkan oleh Paul Zane Pilzer, sama-samalah kita mengambil manfaat.
Posted at 06:09 pm by alidina
Permalink
Friday, July 09, 2004
Bulan Julai Bulan Membaca
Untuk sekian kalinya, bulan Julai dinobatkan Bulan Membaca. Maka riuh-rendahlah orang-orang yang terlibat dalam industri ilmu ini berdiskusi, berkempen, berseminar, bersidang dan sebagainya semata-mata untuk menyuruh dan menggalakkan orang ramai membaca. Seperti biasa sambutan dalam bentuk pesta-pestaan dan keramaian ini menelan belanja yang bukan sedikit, mungkin mencecah ratus-ribuan ringgit dan masa yang perlu dikorbankan. Kita berharap usaha ini menghasilkan masyarakat Malaysia yang suka membaca.
Menyentuh tentang tabiat membaca ini, masih ramai lagi berpendapat bahawa masyarakat Malaysia terlalu kurang membaca dan tidak banyak berubah seperti 20 tahun yang lampau. Di mana silap dan kekurangan ini tak tahulah. Bagi kita, sejak dari tadika lagi telah diperkenalkan dengan bahan bacaan ABC sehinggalah ke peringkat universiti dan seterusnya di alam berkerjaya. Tak henti-henti membaca, namun kita masih lagi ditakrifkan membaca purata dua buah buku setahun!
Sekiranya hendak dikaji kenapa orang tidak membaca buku, maka jawapannya terlalu banyak. Kajian dan berbagai-bagai bentuk penulisan telah dilakukan berkaitan membaca dan hubungannya dengan buku. Setiap pihak yang terlibat dengan industri ilmu ini telah disentuh dan diberi saranan supaya terus meningkatkan lagi industri ini. Baik penulis, penyunting, pembaca pruf, perekabentuk, pencetak, penjilid, pengedar, penjual, pembeli dan pembaca telah dibuat post-mortem tentang sumbangan mereka terhadap industri ilmu ini. Namun tidak banyak berubah. Di mana silapnya?
Hendak meletakkan tanggungjawab ini kepada pihak Perpustakaan Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara, Perpustakaan Awam dan sebagainya adalah tidak begitu adil kerana organisasi ini punya tanggungjawab sosial yang jauh lebih besar dari menggalakkan pembacaan. Maka pada pendapat saya, kita semua harus mengambil tanggungjawab ini dan memulakan dengan diri kita dan keluarga kita sendiri MEMBACA. Bacalah apa sahaja bahan yang boleh memberi manfaat dan kepuasan kepada kita waima majalah, akhbar picisan, komik, atau buku ringan dan serius -- sekiranya kita ingin membaca, bacalah sepuasnya. Jangan diperkecil dan diperlekehkan usaha dan tabiat suka membaca mereka. Saya percaya hasil dari tabiat dan kesukaan membaca ini akan bertukar corak apabila mereka memerlukan sesuatu maklumat dan pengetahuan di masa-masa akan datang dan mereka akan mencari bahan bacaan yang lebih sesuai dan berkualiti.
Harapan kita semua, selepas bulan Julai ini kita akan terus membaca dan membaca lagi sampai bila-bila...
Posted at 03:07 pm by alidina
Permalink
Wednesday, July 07, 2004
Well-for-Life (Hidup Yang Sejahtera)
Baharu selesai membaca buku Well for Life (2004) hasil nukilan Dr. Noordin Darus, seorang doktor perubatan yang tidak kenal jemu memperjuangkan gaya hidup sihat dan sejahtera. Ironinya sebagai seorang pejuang, beliau telah diuji oleh Allah SWT dengan penyakit Lymphoma (kanser). Beberapa ketika beliau telah berusaha untuk mendapatkan rawatan bagi mengatasi penyakit ini. Ketika inilah beliau membuat introspeksi diri dan yakin 'ujian' ini memberi satu rahmat kepadanya untuk lebih cekal dan bersemangat dalam perjuangan gaya hidup yang sihat dan sejahtera.
Sekarang beliau telah pulih dan berusaha mengekalkan gaya hidup yang sihat dan sejahtera dan beliau tidak keberatan untuk berkongsi pengalaman dan mengajak semua orang memilih gaya hidup yang diamalkannya. Dr. Noordin mengasaskan WORLD WELLNESS NETWORK (WWN) yang berpengkalan di Jalan Othman, Petaling jaya. Kepada semua pembaca yang ingin menghayati dan mencari iktibar tentang apa tujuan kita hidup di dunia dan di akhirat jangan lupa membaca dan mendapat buku ini. Sekiranya tidak dapat di kedai bolehlah pesan kepada saya melalui emel atau telefon 019-3678067 atau lawati http://www.rx-wwn.com.
Akhir sekali sepatah kata dari Pengarang: If you are facing chalenges beyond your ability, or suffering from illness that's weighing you down, or losing hope in life and the future, or even if you want to maintain your wellness or improve your overall condition, this book is for you. Selamat Membaca.
Buku-buku lain yang ditulis oleh Dr. Noordin Darus:
The Art of Total Wellness (2002)
Water for Life (2003)
Posted at 02:22 pm by alidina
Permalink
Thursday, July 01, 2004
Bicara Buku - buku baru buku lama
Terlalu banyak buku yang diterbitkan masakini, sehingga kita sukar untuk mendapatkannya. Tiba-tiba kita terjumpa akannya tetapi apabila dibelek-belek ianya sudah diterbitkan beberapa tahun kebelakangan. Kadangkala bila dibaca isinya sudah tidak relevan lagi. Selalunya buku ilmiah atau sains dan teknologi, terutama bidang komputer yang terlalu cepat tidak relevannya. Persoalannya, bagaimana harus kita menyebarkan maklumat tentang buku baru atau yang bakal diterbitkan kepada khalayak pembaca? Pada pendapat saya medium internet adalah salah satu kaedah pemberitahuan. Mungkin ada cara yang lain...
Posted at 08:18 pm by alidina
Permalink
|
|

Salam Perkenalan
|
 |
|