Friday, October 27, 2006
Puncak Jaya: Malaysia Kampungku, Dunia Negaraku

KEMAJUAN pendidikan banyak berpusat di Universiti. Di sanalah segala kebijakan ditemui. Sejak dahulu kala, sehingga kini dan selamanya Universiti merupakan destinasi utama untuk dituju.

Buku Puncak Jaya: Malaysia Kampungku, Dunia Negaraku karya Zubli Zainordin bukan sekadar catatan biasa tetapi menghimpun satu pengalaman menarik untuk sama-sama dikecapi oleh para pembaca khususnya di kalangan anak-anak muda Malaysia. Kepada yang belum berkesempatan melanjutkan pengajian serta merasai kehidupan di Universiti sebagai siswa-siswi, maka buku ini dapat memberi motivasi yang sangat diperlukan.

Terdapat 13 bab yang menyentuh betapa Universiti amat penting untuk disinggahi sepanjang kehidupan seseorang. Sekiranya anda dapat melanjutkan pengajian di Universiti sama ada lokal atau antarabangsa, maka ini sudah dikira sangat bermakna kepada diri  anda. Sekiranya belum, maka berusahalah untuk memasukinya, biarpun sebagai seorang pelawat dan rasailah kenikmatannya.

Buku ini ingin mengajak anak-anak muda serta para graduan berkelana di persada global di mana Malaysia hanyalah merupakan sebuah perkampungan dan diharapkan mereka nanti keluar menakluki pentas global seolah-olah dunia sudah pula menjadi negara mereka. Berkemampuankah mereka mencapai misi ini? Mungkin dengan membaca buku Puncak Jaya: Malaysia Kampungku, Dunia Negaraku anda berpeluang mendapatkan jawapannya.

Dapatkan buku Puncak Jaya: Malaysia Kampungku, Dunia Negaraku di kedai-kedai buku berhampiran anda, sekiranya belum kedapatan sila sms 019-367 8067 atau 013-223 2559 untuk penghantaran segera.

Info buku:

Tajuk: Puncak Jaya: Malaysia Kampungku, Dunia Negaraku
Pengkarya: Zubli Zainordin
Penerbit: Smart Genei Corporation Sdn. Bhd.
ISBN No: 983-2275-53-9
Tahun Terbitan: 2006


Posted at 05:43 pm by alidina
Comments (1)  

Monday, May 23, 2005
Overseas Chinese Muslims

Lebih 30 juta penduduk Negara China beragama Islam. Di samping itu terdapat lebih 35 juta lagi keturunan Cina berhijrah dan menetap di 13 negara lain termasuk Malaysia. Sebahagian dari mereka membentuk komuniti Cina Muslim yang bermustatin di seberang laut.

Sejarah penghijrahan ini bermula di sekitar tahun 1371 yang dipelopori oleh Zheng He yang juga dikenali sebagai Laksamana Cheng Ho. Beliau telah melakukan sebanyak tujuh pelayaran dan membuat hubungan diplomatik dengan lebih 33 negara termasuk kerajaan Melayu Melaka.

Buku Overseas Chinese Muslims (2004, Anzagain Sdn. Bhd.) karya Yusuf Liu Baojun merupakan satu-satunya buku yang membincangkan kedudukan Cina Muslim di seberang laut. Beliau mengambil masa selama lebih tujuh tahun untuk mengumpul maklumat dan melakuan lawatan ke beberapa tempat dan negara. Hasilnya dirakamkan secara terperinci dalam buku ini.

Menurutnya, kebanyakan penduduk Cina Muslim di seberang laut adalah dari keturunan ‘Hui’ dan mereka banyak ditemui di Thailand, Burma, Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgyztan, Arab Saudi, Hong Kong dan Taiwan. Sementara keturunan ‘Han’ pula ramai yang berhijrah ke Brunei, Indonesia dan Malaysia.

Sebagai kumpulan minoriti Islam di seberang laut, mereka juga tidak kurang menyumbang bakti dan melakukan kerja-kerja kebajikan di samping menyebarkan agama Islam di kalangan penduduk Cina.

Sesungguhnya komuniti Cina Muslim di seberang laut memainkan peranan penting sebagai penghubung kepada sikap toleransi, integrasi, harmoni dan kerjasama di kalangan penduduk pelbagai ras dan budaya di setiap negara yang mereka huni.

Buku Overseas Chinese Muslims ini diterbitkan dalam versi bahasa Inggeris dan Mandarin dan boleh didapati di kedai-kedai buku terpilih di Malaysia.




Posted at 06:53 pm by alidina
Comments (8)  

Thursday, May 12, 2005
Memartabatkan Warisan Pendeta ZA'BA

Pendeta Za’ba sangat sayang kepada bahasa, bangsa dan negaranya. Peranan beliau yang senantiasa berlandaskan keahlian, kecintaan dan kecekalan ternyata disedari dan diakui oleh orang-orang Melayu. Beliau ialah pemikir dan pencentus beberapa gagasan besar dalam pelbagai bidang yang menyentuh hati nurani masyarakat Melayu.

Buku Memartabatkan Warisan Pendeta Za’ba (2005) merupakan himpunan kertas kerja yang dianggap lengkap untuk menelusuri sumbangan dan pengorbanan Za’ba terhadap kesejahteraan orang-orang Melayu. Kertas-kertas kerja ini dibentangkan pada Seminar Kebangsaan Memartabatkan Warisan Pendeta Za’ba yang dilangsungkan di DBP pada 15 & 16 sept. 2004.

Image hosted by Photobucket.com Kupasan pemikiran besar beliau mengenai Melayu dianalisis oleh sebilangan cendekiawan Melayu masakini dan rata-rata mereka mencapai kesepakatan tentang usaha Za’ba mengangkat martabat Melayu ke arah The Glorious Malay World. Namun kegemilangan ini sudahkah terangkat?

Terusik juga perasaan apabila Prof. Dato’ Dr. Kamarudin Kachar sebagai Pengerusi Seminar Kebangsaan dalam ucap utamanya merayu supaya orang Melayu menghidupkan semula dan terus meniup semangat seperti semangat zaman Za’ba. Katanya: Perjuangan kita bukan sahaja belum selesai bahkan masih di peringkat awal dan baru saja bermula dah pula terkulai.

Tambahnya: Kebanyakan graduan yang menganggur Melayu, kebanyakan penghisap dadah Melayu, kebanyakan pelumba motosikal (haram) Melayu, kebanyakan yang dapat General Degree dan Third Class Honours Melayu, kebanyakan yang melepak Melayu, kebanyakan kes rogol Melayu, kebanyakan yang tak lulus di IPT Melayu, kebanyakan kes keruntuhan disiplin Melayu, kebanyakan pegawai dan staf kerajaan bongkak sombong Melayu, kebanyakan tak sedar diri Melayu dan kebanyakan hidup dalam alam kepura-puraan ialah Melayu.

Penelitian Pengerusi Seminar Kebangsaan ini sesungguhnya sudah lama dileteri oleh Za’ba, namun inilah realitinya. Di mana silapnya? Mungkin dengan menelaah buku ini sedikit sebanyak dapat meredakan perasaan dan membantu kita melestarikan Warisan Za’ba. Sekalung tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur Seminar Kebangsaan dan Penerbit UPSI yang berjaya menyelenggarakan penerbitan buku ini.




Posted at 09:50 pm by alidina
Comments (6)  

Thursday, May 05, 2005
US-BRITISH Neo-Colonial Conspiracy in the Muslim World

Kemenangan tetap berpihak kepada yang benar. Inilah kesimpulan yang dapat digarap setelah selesai membaca buku US-British Neo-Colonial Conspiracy in the Muslim World (2005, BookDigital Sdn. Bhd.) hasil karya Al-Rashid Ikogan Cayongcat yang berasal dari Mindanao, Filipina.

Buku ini menjawab beberapa persoalan tentang nawaitu Amerika Syarikat khususnya Presiden George W. Bush dan sekutunya memusuhi dan memerangi negara-negara Islam seperti Afghanistan, Iraq dan terkini Iran.

Image hosted by Photobucket.com ARI Cayongcat memaparkan tindak-tanduk Amerika dan Britain dalam konspirasi mereka untuk menghalalkan penaklukan ke atas negara-negara Islam dan meletakkan agenda memerangi keganasan sebagai sebab utamanya.

Namun apa yang tersirat dan tersurat dalam buku ini adalah sesuatu yang sungguh memeranjatkan. ARI Cayongcat mendedahkan beberapa fakta dan maklumat tepat tentang serangan ke atas WTC dan Pentagon pada 11 September 2001. Siapakah sebenarnya yang menjadi 'mastermind' dalam serangan tersebut dan kenapa kumpulan al-Qaeda serta Osama Bin Laden dipertanggungjawabkan?

Seperti yang dinyatakan oleh pengarang: 'Until now the bombings of the Twin Towers and Pentagon were shrouded with mysteries. A long list of questions remained unanswered including: Why many of the alleged suicide bombers were found alive? Why there was no trace of any airplane debris that allegedly that hit the Pantagon building? Were the two airplanes that hit the Twin Towers remote controlled? Why were those Israeli teenagers reportedly seen dancing and laughing in the nearby street of New York as they watched the airplanes hit the Twin Towers?

Kesemua ini dan banyak lagi jawaban kepada persoalan lain yang anda boleh dapatkan dari buku ini dan akhirnya: '...truth vindicates Islam. The western media and those self-serving authors who joined together in mass condemnation of Islam as religion of violence and terrorism and anti-Americanism and anti-Europeanism, must have learned their lessons the hard way.




Posted at 07:10 pm by alidina
Comments (1)  

Sunday, April 17, 2005
DENDAM Yang Terindah

Kehidupan di dunia ini sukar ditentukan hujungnya. Segalanya telah diatur oleh Yang Maha Esa. Yang baik pasti mendapat balasan baik dan begitulah sebaliknya pula. Tema inilah yang digarap oleh Fatinilam Sari Ahmad lewat karyanya Dendam Yang Terindah (2004) terbitan Anzagain Sdn. Bhd.

Perwatakan anak-anak kecil yang diasuh oleh keluarga sangat mempengaruhi mereka. Sekiranya bibit-bibit kebencian ditanam ke dalam jiwa mereka, akhirnya akan menular menjadi satu igauan buruk pada masa akan datang.

Image hosted by Photobucket.com Peristiwa ngeri berlaku apabila Zaki meninggal dunia kerana tanah di tebing sungai di Kampung Sungai Mai, Temerloh menjadi seruh dan runtuh lalu menimbunkannya di gigi air. Azimah menuduh Norasyikin yang menolak abangnya. Akibatnya Norasyikin didapati bersalah kerana kematian Zaki dan dihantar ke Batu Gajah selama lima tahun untuk ditahan. Peristiwa ini berlaku ketika mereka masih awal remaja.

Peristiwa demi peristiwa malang melanda Norasyikin, ketika berada di Batu Gajah, antaranya kematian neneknya dan kemudian diikuti pula kematian bapanya ketika menjaring ikan. Ibunya Mak Ngah Juah diusir dari kampung dan tidak diketahui ke mana perginya.

Setelah dibebaskan, Norasyikin dijadikan anak angkat oleh Puan Devi salah seorang pengasuh di Pusat Tahanan Batu Gajah. Norasyikin dibawa oleh Puan Devi ke London setelah dia bersara dan membiayai pengajiannya dalam bidang Hiasan Dalaman. Di London Norasyikin berkahwin dengan Geofferey seorang usahawan tetapi jodoh mereka tidak lama. Geofferey meninggal dunia dan meninggalkan sebahagian kekayaan dan dua orang cahaya mata Julia dan Myra.

Dengan berbekalkan harta peninggalan Geofferey dan cahaya mata inilah Norasyikin kembali semula ke Malaysia dengan tujuan membersihkan namanya serta mengembalikan haknya di Kampung Sungai Mai. Apakah hasrat hati Norasyikin tercapai dan dapatkah dia meleraikan Dendam Yang Terindahnya? Sila dapatkan buku Fatinilam Sari ini di kedai-kedai buku dengan harga RM12.90 atau hubungi Kedai Buku Ebiza di Shah Alam (03-51918709).




Posted at 07:35 pm by alidina
Comments (1)  

Next Page

Salam Perkenalan


Beberapa tajuk baru bertamu ke blog ini,
untuk dibaca dan didiskusikan,
Sekiranya ANDA ada buku terkini yang menarik
Untuk dikongsi bersama, sila hubungi kami,
Supaya dapat Bersama Kita Membaca.


Kepada ANDA yang mungkin ingin mendapatkan
buku-buku yang didiskusikan, SILA dapatkan
di kedai-kedai buku, perpustakaan atau
Hubungi:
alid_ina@yahoo.com

   

<< March 2006 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03 04
05 06 07 08 09 10 11
12 13 14 15 16 17 18
19 20 21 22 23 24 25
26 27 28 29 30 31


If you want to be updated on this weblog Enter your email here:



rss feed