Entry: Pengenalan Pedagogi Thursday, February 17, 2005



Proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak dapat dipisahkan dengan penguasaan kemahiran pedagogi. Keberkesanan P&P membantu murid-murid memahami mata pelajaran dengan lebih mudah dan menyeronokkan.

Buku Pengenalan Pedagogi hasil karya Esah Sulaiman, pensyarah di Fakulti Pendidikan UTM ini dapat membantu kaum pendidik memahami dan menguasai kemahiran mengajar di dalam bilik darjah seiring dengan saranan dalam etika perguruan yang memerlukan guru meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.

Buku ini mengandungi 12 bab yang merangkumi segala aspek berkaitan pedagogi untuk membantu para pendidik melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan. Perbincangan awal dimulakan dengan meneroka maksud pedagogi, kepentingan guru menguasai ilmu pedagogi, dan elemen dalam P&P. Selanjutnya, perbincangan mencakupi model pengajaran dan ciri-ciri pengajaran yang berkesan.

Strategi pengajaran di bilik darjah juga dibincangkan dan merangkumi beberapa pendekatan serta gaya P&P yang diaplikasi pada masa kini. Antaranya strategi pengajaran KBSM yang menghuraikan pendekatan bersepadu yang meliputi Bahasa Melayu Merentas Kurikulum (BMMK), nilai merentas kurikulum, dan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

Selain itu, penggunaan objektif pengajaran dalam sesi pengajaran, khususnya objektif tingkah laku turut dibincangkan. Buku ini turut menganalisis komponen dalam perancangan pengajaran dan menyediakan beberapa contoh perancangan pengajaran bagi memenuhi keperluan guru pelatih.

Aspek pengurusan bilik darjah, masalah disiplin, dan teknik meningkatkan disiplin di dalam bilik darjah juga dihuraikan dengan berkesan. Untuk meningkatkan lagi keberkesanan pengajaran guru, isu berkaitan profesionalisme guru turut dibincangkan. Buku ini sesuai dijadikan bahan rujukan kepada semua pendidik dan sesiapa sahaja yang berminat tentang bidang perguruan.

Tajuk buku: Pengenalan Pedagogi, Pengarang: Esah Sulaiman, Tahun: 2004, ISBN 983-52-0353-9, 224 muka surat, Harga: RM30.00, Penerbit: Penerbit UTM

   1 comments

watra
October 20, 2005   11:20 AM PDT
 
kurang sumber rujukan-tingkatkan lagi...

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments